Khamis, 26 November 2009

MARI BERTAKBIR.

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..

Hari Raya Qurban atau Hari Raya Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 27 November ini, bersamaan 10 Zulhijah. Pengistiharan tersebut telah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.. "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1430 Hijrah ialah pada 18 Nov 2009 Masehi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 27 Nov 2009 Masehi," katanya dalam siaran akhbar Jabatan Penerangan yang dikeluarkan di sini hari ini. (Bernama)

Maka dengan rasminya, esok kita semua akan berhari raya dan dengan rasminya juga bahawa semua umat Islam yang sedang mengerjakan fardhu haji di tanah suci Mekah akan menyambut hari "kemenangan" mereka juga. Alhamdulillah, mudah-mudahan mereka semua mendapat haji dan hajjah yang mabrur serta di terima di sisi Allah S.W.T.

Seperti biasa, alunan takbir akan berkumandang di seluruh surau dan masjid bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia. Bermula pada malam Jumaat sehinggalah keesokkannya, takbir akan bersahut-sahutan memuji kebesaran Allah yang Esa. Marilah bersama kita mengambil kesempatan ini untuk memuji dan bersyukur kepadaNya. Mudah-mudahan kita juga mendapat nikmat, rahmat, taufik dan hidayah dariNya jua.

Sempena dengan Hari Raya Qurban ini, Surau Al-Muhajirin Taman Bukit Jaya akan menjalankan aktiviti qurban seperti di tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, tahun ini masih mendapat sambutan dari kariah dan penduduk setempat. Pada awalnya hanya 2 ekor lembu sahaja tetapi sehingga tarikh tutup penyertaan, jumlah keseluruhan telah menjadi 6 ekor semuanya.

Sembahyang Hari Raya akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan acara Qurban akan dimulakan seawalnya pada pukul 10.00 pagi. Kepada anda yang berada di sekitar kawasan kami, adalah di jemput hadir untuk dapat bersama menunaikan Solat Aidiladha dan memeriahkan lagi suasana.

Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin dari kami AJK Pembinaan Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya,
Ulu Tiram, Johor.

Marilah bertakbir.. Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..



Rabu, 18 November 2009

SELAMAT BERJUANG.

Salam sejahtera buat semua.


Bila tiba akhir tahun, banyak peristiwa yang telah kita lalui dan akan kita lalui untuk melengkapkan segala tugasan yang mungkin telah kita rancang dari awal tahun sehinggalah akhir tahun ini. Ada yang telah disempurnakan dengan baik dan mungkin juga ada yang gagal. Namun pastikan anda tetap bersyukur dengan apa yang telah anda lalui itu. Semakin kita bersyukur semakin banyak nikmat yang akan ALLAH limpahkan. Mudah-mudahan kita semua di berikan petunjuk yang lebih nyata dan sempurna..TERUSKAN PERJUANGAN ANDA.

Bagi AJK PembinaanSurau sendiri, banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa di tempuhi. Walau apa pun rintangannya, kami menyambutnya dengan ikhlas dan menganggap apa yang telah berlaku itu adalah sebagai satu ujian dariNya..mungkin hanya untuk menguji kesabaran setiap insan yang berniat untuk berjuang. Satu perjuangan yang akan kami pastikan kejayaannya hanya dengan izin Allah jua.



PERJUANGAN pelajar-pelajar sekolah rendah yang telah menduduki peperiksaan UPSR telah pun berakhir. Kepada mereka yang telah berjaya mendapat 5A atau 4A, sudah tentu akan merasa bangga dan gembira kerana telah dapat menyelesaikan antara tugasan penting mereka. Tahniah kepada mereka yang berjaya. Bagi yang tidak mencapai sasaran seperti yang di harapkan, anda tidak perlu untuk merasa kecewa, risau dan gundah gulana kerana anda bukan gagal tetapi anda juga telah berjaya menyambut cabaran (peperiksaan) tersebut, kerana ini adalah cubaan pertama anda sebagai pelajar. Tahniah kepada semua kerana telah berani memulakan langkah pertama mengambil sesi peperiksaan utama tersebut yang penuh bermakna buat anda & keluarga. Jadikan segalanya sebagai satu titik tolak untuk mencipta momentum yang lebih hebat sebagai pejuang kejayaan dalam pelajaran. Berjaya atau gagal dalam peperiksaan tidak bermakna anda akan berjaya atau gagal dalam hidup kerana ia adalah sebahagian dari pengisian dalam kehidupan. & yang penting, anda telah BERUSAHA. Teruskan perjuangan anda TANPA KENAL ERTI PUTUS ASA dan ALASAN, untuk menikmati kehidupan sebenarnya..belajar & belajar!


Selamat berjuang di arena peperiksaan kepada semua pelajar yang sedang menambil peperiksaan SPM & STPM. Hadapinya dengan TENANG, SABAR dan YAKIN PADA DIRI SENDIRI. Bermulalah dengan Bismillah serta Selawat dan akhirinya dengan Alhamdulillah. Mohonlah padaNya agar diberikan petunjuk & hidayah agar di berikan kemudahan ketika menjawab.  Buktikan bahawa segala usaha anda selama ini tidak sia-sia dan yang paling penting, anda berani untuk menerima segala kenyataan untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Selamat menghadapi peperiksaan tersebut dan semoga berjaya..YAKIN BOLEH!

PERJUANGAN SETIAP INDIVIDU TIDAK AKAN BERAKHIR SELAGI MEREKA MEMPUNYAI IMPIAN. Kepada semua tetamu Allah yang bakal menunaikan ibadah Haji, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat pergi dan selamat kembali. Diiringi dengan doa ta'zim agar segala urusan di permudahkan, selamat sejahtera, sihat walafiat penuh bertenaga dan mendapat ganjaran Haji yang Mabrur hendaknya. Perjuangan anda untuk ke sana, telah di makbulkan oleh Nya. Ya Allah, perkenankanlah segala hajat mereka yang menjadi tetamuMu itu. Berilah mereka segala keampunan, kenikmatan, kemudahan dan ketenangan ketika menjalani ibadah tersebut..Aminn..

Berjuanglah selagi hayat di kandung badan. Impian memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan kesabaran dan kesabaran memerlukan keimanan. Semoga impian anda menjadi nyata dan menikmatinya dengan penuh kesyukuran.

SELAMAT BERJUANG DAN SEMOGA ANDA SEMUA BEROLEH KEJAYAAN.

Jumaat, 6 November 2009

APA RAHSIA DI SEBALIK NO 1,618?

Biasanya kita akan dapat melihat angka 786 di kedai-kedai mamak dan ada juga yang menggantung gambar nombor tersebut di rumah-rumah. Angka tersebut di katakan bermaksud Bismillahirrahmanirrahim dan beserta dengan pelbagai kepercayaan lain yang berkaitan dengan tuah dan nasib. Saya sendiri kurang pasti akan kelebihan nombor tersebut dan selepas di buat semakan, sebenarnya ia adalah bertentangan dengan Akidah, Syariat dan akhlak kita sebagai umat Islam. Perkara ini talah di jelaskan oleh Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor (07hb November 2007). Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh semak di laman sesawang berikut:
http://www.e.fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1373

Tapi bagaimana pula dengan nombor atau angka 1,618 ini? Angka ini sebenarnya lebih menjurus kepada pembuktian akan kebesaran Allah S.W.T. Ia adalah satu kiraan matematik yang mudah dan terdapat di setiap TUBUH BADAN kita. Apa yang lebih menakjubkan, angka tersebut juga terdapat pada BANGUNAN KAABAH!!. Ingin saya jelaskan, bahawa angka tersebut bukan dalam bentuk tulisan, ukiran atau objek tetapi dalam bentuk kiraan sahaja.

Untuk lebih jelas, sila hayati video klip ini. Semoga kita dapat muhasabah diri dan melihat keagungan serta kebesaran Allah dengan penuh keinsafan. Lihatlah betapa perfect (sempurna) setiap kejadian yang telah Allah ciptakan termasuk diri kita ini. Allahuakhbar..sesungguhnya hanya Allah yang Maha Besar..

Selamat menonton.


Isnin, 2 November 2009

BERNIAGA SAMBIL BERAMAL.

Perniagaan adalah antara Sunnah Rasullah S.A.W.yang telah di tinggalkan kepada kita sebagai umatnya. Baginda adalah seorang usahawan yang berjaya di zamannya dan telah pun di nyatakan dengan jelas dalam hadis Baginda bahawa 9/10 punca rezeki itu adalah dari perniagaan.

Ramai antara kita yang sedia maklum dan mengetahui akan kedudukan perkara ini tapi sering juga menjadi tanda tanya, kenapa kita jugalah yang seboleh-bolehnya menjauhkan diri dari tercebur di bidang perniagaan ini.Masing-masing mungkin mempunyai alasan yang tersendiri. Antaranya mungkin juga modal atau "tidak kuasa" untuk melayan kerenah serta ragam perniagaan itu sendiri atau sebagainya.

Namun, sebagai usaha untuk mengisi Tabung Pembinaan Surau Baru ini, saya amat menggalakkan agar kita semua cubalah sedayanya bermula dari sekarang ini untuk belajar berjinak-jinak dengan bidang perniagaan ini. Mungkin masih ramai lagi yang tidak maklum bahawa sebenarnya Surau Al-Muhajirin telah pun memulakan beberapa perniagaannya sendiri.

Mereka yang menggerakkanya adalah secara sukarela. Selain dari dapat menambah pendapatan diri dan keluarga, sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam Tabung Pembinaan Surau tersebut. Antara produk yang diniagakan adalah seperti berikut:

a) PRODUK FIZIKAL A.
  1. Kopi Barli.
  2. Kopi Tongkat Ali Plus.
  3. Kopi Kacip Fatimah Kologen.
  4. Losyen Pati Halia, Cengkih dan Limau.
Harga Ahli: RM15.00. (Minima *RM1.00 adalah untuk Tabung Pembinaan Surau)
Harga Runcit: RM24.00) *Tidak termasuk hasil dari keuntungan berperingkat.


b) PRODUK FIZIKAL B.
    Koleksi VCD Aktiviti Surau.
  1. Majlis Maulidur Rasul 08.
  2. Rakaman Solat Tarawih 09.
  3. Sambutan Hari Raya & Marhaban Perdana 09.
  4. Hari Keluarga Jaya & Forum Perdana.
Harga Seunit: RM10.00 - 100% khas untuk Tabung Surau. (Diskaun untuk pembelian lebih dari 1 unit).


c) PRODUK MAYA.
  1. Buku Elektronik (ebook) - Lebih dari 10 tajuk.
Sila lihat di sini:   http://tinyurl.com/danasurau
Jualan di buat secara on-line (berniaga dari rumah) atau off line (secara bersemuka).
Harga Runcit: RM10.00. ( RM1.00 akan dimasukkan terus ke Akaun Pembinaan Surau (RHB) secara otomatik)

Dengan modal serendah RM10 sahaja sebenarnya anda sudah mampu untuk memulakan perniagaan sendiri. Bermulalah dari kecil sebelum memikirkan yang besar. Sekurang-kurangnya Sunnah Rasullah S.A.W. tersebut telah pun anda aplikasikan dalam kehidupan anda. Untuk keterangan lajut, boleh hubungi saya, pada bila-bila masa. JOM BERNIAGA, SAMBIL BERAMAL..

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita...Insya Allah.

p/s: Produk akan ditambah dari semasa ke semasa. Cadangan baru juga amat di galakkan.