Khamis, 26 November 2009

MARI BERTAKBIR.

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..

Hari Raya Qurban atau Hari Raya Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 27 November ini, bersamaan 10 Zulhijah. Pengistiharan tersebut telah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.. "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1430 Hijrah ialah pada 18 Nov 2009 Masehi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 27 Nov 2009 Masehi," katanya dalam siaran akhbar Jabatan Penerangan yang dikeluarkan di sini hari ini. (Bernama)

Maka dengan rasminya, esok kita semua akan berhari raya dan dengan rasminya juga bahawa semua umat Islam yang sedang mengerjakan fardhu haji di tanah suci Mekah akan menyambut hari "kemenangan" mereka juga. Alhamdulillah, mudah-mudahan mereka semua mendapat haji dan hajjah yang mabrur serta di terima di sisi Allah S.W.T.

Seperti biasa, alunan takbir akan berkumandang di seluruh surau dan masjid bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia. Bermula pada malam Jumaat sehinggalah keesokkannya, takbir akan bersahut-sahutan memuji kebesaran Allah yang Esa. Marilah bersama kita mengambil kesempatan ini untuk memuji dan bersyukur kepadaNya. Mudah-mudahan kita juga mendapat nikmat, rahmat, taufik dan hidayah dariNya jua.

Sempena dengan Hari Raya Qurban ini, Surau Al-Muhajirin Taman Bukit Jaya akan menjalankan aktiviti qurban seperti di tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, tahun ini masih mendapat sambutan dari kariah dan penduduk setempat. Pada awalnya hanya 2 ekor lembu sahaja tetapi sehingga tarikh tutup penyertaan, jumlah keseluruhan telah menjadi 6 ekor semuanya.

Sembahyang Hari Raya akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan acara Qurban akan dimulakan seawalnya pada pukul 10.00 pagi. Kepada anda yang berada di sekitar kawasan kami, adalah di jemput hadir untuk dapat bersama menunaikan Solat Aidiladha dan memeriahkan lagi suasana.

Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin dari kami AJK Pembinaan Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya,
Ulu Tiram, Johor.

Marilah bertakbir.. Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..