Khamis, 24 September 2009

LOKASI SURAU.

Ingin mengetahui di mana lokasi surau Al-Muhajirin? Sila semak pada peta berikut. Klik kiri mouse,hold dan gerakkannya untuk pandangan ke sudut lain atau klik pada sebelah bawah untuk pandangan penuh.


View Surau Al-Muhajirin in a larger map

Ahad, 20 September 2009

RAMADAN BERLALU..SYAWAL MENUNGGU..

YA ALLAH..sempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, Dikau muliakan, berkati dan sayangilah kepada sekian umat Islam di dunia ini, khasnya kepada pelawat yang sedang membaca blog ini. Ampunilah segala dosanya, berkatilah keluarganya, sihatkanlah tubuh badannya, limpah ruahkan rezekinya, jauhkan dirinya dari segala fitnah, penganiayaan serta penghinaan...berilah kebahagiaan dalam kehidupannya serta keluarganya, suburkanlah benih keimanan dengan penuh ketaqwaan dan Dikau sempurnakanlah segala hajat serta keperluanya sebagai seorang hambaMu, di dunia dan akhirat.

Sempena dengan bulan Syawal ini juga, kami barisan AJK Pembinaan Surau Baru, Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor..ingin mengambil kesempatan menghulurkan salam kemaafan kepada semua pengunjung blog ini khasnya, rakan, sahabat dan taulan..sama ada yang mengenali kami atau tidak.

Semoga kemunculan Syawal ini memberi semangat baru kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya..Insya Allah.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
1430H / 2009M
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Dengan ingatan tulus ikhlas dari:
AJK PEMBINAAN SURAU BARU, SURAU AL-MUHAJIRIN.

Sabtu, 19 September 2009

AJK PEMBINAAN SURAU BARU.

Dah sibuk-sibuk, sampai terlupa nak memasukkan senarai AJK Pembinaan Surau Baru, Surau Al-Muhajirin yang telah dihantar ke Jabatan Agama Johor dan disahkan oleh pihak mereka. Sebelum ini saya hanya menyenaraikannya sahaja nama AJK tersebut.

Harap maklum.



Jumaat, 18 September 2009

JOM MENGAJI..






Jika anda berhajat untuk mendengar bacaan atau membaca Al-Quran sambil mengetahui terjemahannya, bolehlah cuba dapatkannya disini. Semoga ianya memberi munafaat kepada kita semua. Jika anda ada mempunyai laman sesawang (web site) atau blog, silalah salin skrip Quran Explorer ini ya.. Mudah-mudahan bersama mendapat keberkatanNya...Insya Allah.

RAKAMAN SOLAT TARAWIH 1430 / 2009

Ini adalah rakaman Solat Tarawih di Surau Al-Muhajirin pada minggu lepas. Pada tahun ini pihak surau telah mendapatkan perkhidmatan 2 orang pelajar tahfiz sebagai Imam Muda bagi mengetui solat di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Rakaman ini hanya menggunakan 1 kamera dan dilakukan secara "curi-curi" untuk mengelakkan dari mengganggu kariah yang lain. Oleh itu jika terdapat sebarang kecacatan pada rakaman ini harap di maafkan je la ya..haha.

Jika ada komen, seperti biasa..sila tinggalkan pesanan anda.

Selamat menonton..


Isnin, 14 September 2009

SIRI TERJEMAHAN AL-QURAN.

Surah Al-Baqarah, Ayat 276

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Ahad, 13 September 2009

SIRI TERJEMAHAN AL-QURAN.

Surah A-li ‘Imraan, Ayat 13

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Jumaat, 11 September 2009

CADANGAN PELAN SURAU BARU KAMI.

Ini ialah cadangan pelan untuk surau baru kami. Pelan ini adalah pelan selepas modifikasi dari pelan asal yang telah diserahkan kepada Jabatan Agama Johor, sejak dari tahun 1999 lagi.

 
(Sila klik pada gambar untuk pandangan yang lebih jelas)

Kami menganggarkan kos pembinaan surau ini adalah sebanyak RM200,000.00. Namun sehingga kini, hasil dana yang terkumpul sejak dari awal Januari 2009 ialah sebanyak RM40,000.00 lebih sahaja. Dana tersebut adalah hasil dari kutipan dalaman iaitu dari penduduk Taman Bukit Jaya ini sendiri dan dari beberapa individu serta syarikat dari luar kawasan.

Kami akan cuba mengejar dan sasaran menjelang pertengahan tahun depan, dana tersebut telah dapat kami perolehi sepenuhnya..Insya Allah. Jika pihak anda ada mengenali individu yang dermawan atau syarikat yang budiman, dapatlah kiranya menyampaikan hajat kami ini kepada mereka agar proses pengumpulan dana ini dapat berjalan dengan segera. Segala kerjasama, terlebih dahulu kami ucapkan jutaan terima kasih jua.

Khamis, 10 September 2009

BUKTI DOKUMENT SOKONGAN.

Hari ini ada masa sikit untuk melihat blog surau ni. Kali ini saya nak bercerita pasal BUKTI. Untuk memastikan bahawa kami bukanlah meminta derma, dana, sumbangan atau bantuan untuk surau ini sesuka hati, jadi di sini saya sertakan salinan dokument-dokument yang berkaitan untuk rujukan semua. Kalau tak cukup juga, bolehlah terus merujuk pada Jabatan Agama Islam Johor dengan memberi no fail kami JB 3/2009, atas nama Pengerusi, En Amat Sapar Bin Salleh (511102-025911) bagi pihak Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor.

Kami tidak mahu menuduh sesiapa pun kerana tidak mempercayai kami tapi kenyataannya, itulah cubaan dan dugaan yang kami kena tempuhi sehingga kini. Macam-macam tohmahan dan cacian yang terpaksa kami "telan" je, demi untuk memastikan pembinaan surau baru ini berjalan dengan lancar. Jika ada kesempatan, nanti saya akan masukkan cerita sensasi tersebut..haha.

Kalau anda ada pendapat dalam situasi begini, bolehlah menyuarakan pendapat anda itu di ruangan forum Jom Bincang-Bincang di dalam blog ini. Mungkin anda ada pendapat yang bernas atau power untuk kami jadikan panduan selepas ini. Jadi, tak la asyek kena tembak je..

Ya Allah, berilah kami semua kekutan minda dan fizikal, rohani dan jasmani, untuk kami sempurnakan segala tugasan ini.. Doa dari anda memang amat kami perlukan...doakanlah kami berjaya mendirikan sebuah surau baru selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan. DOA ANDA ITU JUGA MERUPAKAN SUMBANGAN IKHLAS yang amat bermakna bagi kami semua...terima kasih.

(Sila klik pada gambar untuk pandangan yang lebih jelas)

 
Ini surat kepada Jabatan Agama Johor, untuk memohon kebenaran bagi menjalankan akiviti memungut sumbangan / derma, yang saya tandatangani. 
 
Ini pula surat jawapan dari Jabatan Agama Johor yang membenarkan aktiviti tersebut (Ruj: JB 3/2009), bermula dari 16/03/2009 sehingga 17/03/2010.. Selepas tamat tempuh, kena mohon semula..
Surat pengesahan tapak yang telah diwakafkan untuk surau tersebut, dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Johor.

GAMBAR DI DALAM SURAU.

Ini adalah gambar yang saya ambil semasa Solat Tarawih. Beginilah keadaan surau kami yang "comel". Menampakkan suasananya yang begitu padat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan sempurna.
 
Imam Muda Tahfiz.


 
 
  
Bila di dalam penuh, terpaksalah sembahyang di luar surau.
 
 
  
Ruang untuk kaum ibu yang begitu terhad...sabar je la bu..
 
SEMOGA IMPIAN KITA UNTUK MEMILIKI SURAU BARU YANG LEBIH SELESA TERMAKBUL JUA HENDAKNYA...
"YA ALLAH, MAKBULKANLAH DOA KAMI INI"
...AMINN..

Rabu, 9 September 2009

HALUAN BERSAMA MASYARAKAT.

Tanggal 30hb. Ogos 2009, sebuah badan NGO yang dikenali sebagai HALUAN telah mengadakan Kem Solat Berkesan di perkarangan Surau Al-Muhajirin. Aktiviti tersebut sebenarnya adalah hasil usaha dari Biro HELWA (Hal Ehwal Wanita), di bawah pentadbiran induk surau, sebagai salah satu aktiviti di bulan Ramadan ini.

Biro HELWA, Surau Al-Muhajirin yang di terajui oleh Puan Hjh. Normawetie Binti Hj. Mokhtar memang sering menganjurkan pelbagai aktiviti yang berfaedah untuk masyarakat setempat.

Pengisian dalam Kem Solat Berkesan ini adalah lebih menumpukan pada gerak kerja individu serta berjemaah dalam mengerjakan ibadah solat, sama ada dari segi tertib dan bacaan di dalam solat. Para hadirin begitu teruja dan mendapat impak yang jelas dalam bab solat tersebut walaupun ianya adalah ibadah seharian kita. Ceramah tersebut talah disampaikan oleh Ustaz Anuar Bin Daud.

Walaupun pada hari tersebut, hujan rahmat telah membasahi perkarangan surau, namun sambutan dari kalangan penduduk taman ini khasnya kaum ibu adalah amat membanggakan. Tahniah kepada semua yang terlibat.

 
  
  
  
  
  

Selasa, 8 September 2009

PANDUAN SOLAT QASAR DAN JAMA'

Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 SOLAT QASAR

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4 Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam(sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5 Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)



2.0 SOLAT JAMA'

2.1 Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim
i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir
i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

2.3.2 Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

Dipetik dari laman sesawang Jakim: http://www.e-solat.gov.my/
Terima Kasih.

Isnin, 7 September 2009

SIRI SOAL JAWAB AGAMA.

ADAKAH SUNTIKAN MEMBATALKAN PUASA ANDA?


Soalan;

Assalamu alaikum, adakah dikira perkara yang membatalkan puasa sekiranya seseorang itu dimasukkan air ke tubuh badannya semasa mendapat rawatan di hospital?

Jawapan;

Soalan di atas berkait dengan hukum suntikan ke atas orang berpuasa; adakah membatalkan puasa atau tidak? Jawapannya; suntikan mempunyai beberapa tujuan;
1. Untuk tujuan pengubatan –seperti menyuntik ubat untuk menurunkan darjah kepanasan bagi orang demam, menyuntik insulan bagi pesakit kencing manis dan sebagainya-.
2. Untuk tujuan kekuatan/ketahanan badan –seperti menyuntik vitamin, kalsium dan sebagainya-.
3. Untuk tujuan taghziah iaitu membekalkan makanan kepada badan seperti memasukkan glukos, air dan sebagainya.

Bagi tujuan pertama dan kedua, ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini telah disepakati oleh sekelian ulamak semasa hari ini kerana bahan yang masuk ke dalam badan melalui suntikan itu bukanlah masuk melalui saluran terbuka (iaitu mulut) dan ia juga tidak berfungsi sebagai makanan untuk badan. Maka suntikan itu tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menghalang diri (dari makan, minum dan sebagainya yang dilarang semasa berpuasa).

Adapun bagi tujuan ketiga iaitu taghziah, ulamak-ulamak semasa hari ini berbeza pandangan;

1. Sebahagian ulamak berpandangan; suntikan taghziyah (iaitu suntikan memasukkan makanan seperti glukos, air atau sebagainya) membatalkan puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum. Suntikan itu membawa makanan masuk ke dalam badan dan badan menerima manfaat darinya. Jika makanan yang masuk melalui mulut membatalkan puasa, maka yang masuk melalui suntikan juga membatalkan puasa kerana ia adalah saripati makanan dan sampai secara direct kepada darah. Antara yang berpandangan begini ialah Syeikh Ibnu ‘Uthaimin (ulamak terkenal dari Arab Saudi) sebagaimana fatwanya dalam kitab “Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram” (halaman 200).

2. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; tidak batal puasa kerana sekalipun ia bersifat makanan tetapi masuknya ke dalam badan bukanlah melalui saluran terbuka (mulut atau hidung) yang berterusan ke perut, akan tetapi melalui urat yang tiada pertalian direct dengan perut. Lagipun ia tidak menghilangkan lapar atau dahaga dan orang yang disuntik tidak merasai kenyang kerana bahan yang disuntik –sekalipun bersifat makanan- tidak sampai ke perut dan tidak melalui saluran penghadaman. Memang benar ia mungkin akan berasa lebih segar dan bertenaga, akan tetapi factor itu sahaja tidak boleh menjadi sebab untuk menghukum batalnya puasa kerana kesegaran juga dirasai oleh orang yang mandi ketika sedang berpuasa dan tidak ada ulamak yang berkata mandi membatalkan puasa kerana mendatangkan kesegaran. Di antara ulamak yang berpandangan begini ialah Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie (bekas mufti Mesir). Pandangan inilah yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Fiqh as-Shiyam” (halaman 86).

Walllahu a’lam.

Disalin dengan izin dari 
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
 http://ilmudanulamak.blogspot.com

KOLEKSI VIDEO- MAULIDUR RASUL 2008

Ini adalah sebahagian gambar "slide video" yang dirakam semasa majlis Maulidur Rasul pada tahun 2008. Pada tahun ini (2009) saya tak berkesempatan kerana ada tugasan di luar daerah.

Rakaman ini telah saya salinkan ke dalam bentuk VCD. Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan versi penuh khasnya penduduk di Taman Bukit Jaya, bolehlah hubungi saya. Saya jadikan VCD ini sebagai jualan amal untuk projek pembinaan surau baru. Harga sekeping hanya RM10 sahaja dan akan terus di masukkan ke dalam tabung pembinaan surau.

Selain dari itu, anda juga akan memperolehi koleksi gambar pegun (PERCUMA) untunk dicetak melalui komputer atau terus ke kedai gambar sebagai koleksi kenangan masing-masing.

Selamat menonton..


PENGETAHUAN AM TARIKH HIJRAH.



Tarikh Hijrah akan berubah selepas jam 8 malam setiap hari. Kenapa? Takwim Hijrah memasuki hari baru selepas masuk waktu maghrib. Tarikh Hijriah ini memasuki hari baru selepas waktu maghrib (ditetapkan jam 8 malam). Tarikh Masihi di bawahnya masih kekal berubah selepas jam 12 malam. Harap Maklum

RASIONALNYA PEMBINAAN SURAU BARU.

  1. Keadaan surau sementara yang sangat daif iaitu separuh batu di mana papan yang telah dimakan anai-anai dan mengancam keselamatan.
  2. Telah dilanda ribut beberapa bulan yang lalu.
  3. Keadaan tandas yang kurang sempurna menyulitkan jemaah lelaki dan wanita ketika majlis diadakan. Saiz surau yang kecil dan tidak mampu lagi menampung jemaah yang semakin bertambah. Ketiadaan ruang yang sesuai bagi jemaah wanita. 
  4. Keadaan surau yang uzur ini telah menyebabkan berlakunya kecurian harta surau.
  5. Lambang kekuatan umat Islam adalah melalui imej surau/masjid. Surau yang sediakan tidak melambangkan imej yang kukuh.

OBJEKTIF PEMBINAAN SURAU BARU.

Untuk mewujudkan satu tempat ibadah bagi keperluan jemaah Islam khasnya penduduk Taman Bukit Jaya, serta memudahkan sebarang aktiviti keagamaan dijalankan dalam keadaan yang selamat, selesa dan memenuhi keperluan semasa, selaras dengan tuntutan Islam.

GAMBAR SURAU SEKARANG.

RUMAH ALLAH (Surau) di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram sekarang ini...


Pandangan hadapan.


Pandangan Penjuru Kiri

Pandangan Penjuru Kanan

    

Pandangan Sisi Kanan

BEGINILAH KEADAAN SURAU KAMI!!

Di sinilah tempat kami beribadat, melakukan aktiviti agama dan kemasyarakatan selama lebih dari 13 tahun lalu. Walaupun telah pelbagai pihak kami ajukan permohonan untuk membantu kami mendirikan surau baru yang lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan semasa, namun semuanya tetap menghampakan tanpa sebarang berita atau alasan yang nyata.

Justeru itu, kami telah mengambil satu keputusan yang pasti untuk membinanya semula dengan usaha kami sendiri, sepertimana 13 tahun dahulu...mengumpulkan dana sesama sendiri dan membinanya secara gotong royong.

Harapan kami amat besar dan kami begitu optimis dalam hal ini. Walau apa pun terjadi, hasrat, impian dan cita-cita kami ini tetap akan kami teruskan.
ADAKAH ANDA INGIN MENYOKONG KAMI?

Pihak kami amat mengalu-alukanya walaupun anda hanya memberi SOKONGAN MORAL DAN DOA agar segala impian kami menjadi kenyataan...

Ya Allah, berkatilah segala usaha kami ini dan berilah kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini..

PENGENALAN.


Taman Bukit Jaya merupakan salah sebuah taman perumahan yang terletak di Mukim Tebrau, Ulu Tiram di daerah Johor Bahru.  Jumlah keseluruhan rumah penduduk Islam di taman ini ialah 300 unit di mana bilangan penduduk Islam terdiri dari kira-kira 500 orang.

Buat masa kini, kami memiliki sebuah surau sementara yang telah dibina secara gotong royong tanpa bantuan dari pihak luar tetapi surau yang sedia ada tidak dapat lagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah pada satu-satu masa khasnya bila diadakan program seperti  Solat Hari Raya, majlis ilmu dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Ini ditambah pula dengan keadaan surau yang sudah agak daif (atas faktor umur, telah dilanda ribut beberapa bulan yang lalu serta serangan anai-anai),  ancaman keselamatan (banyak berlaku kecurian harta surau) dan untuk keselesaan jemaah.

Kami telah berusaha untuk mendapatkan peruntukkan untuk membina surau yang lebih selesa. Memandangkan usaha kami tidak menunjukkan sebarang  hasil positif, maka satu jawatankuasa pembinaan surau baru telah dibentuk pada akhir tahun 2008. AJK ini telah merangka untuk mencari jalan mengumpul dana sendiri melalui kutipan derma dan sumbangan dari penduduk setempat dan masyarakat Islam yang sudi membantu.

Kertas kerja ini disediakan sebagai memberi gambaran kesungguhan dan komitmen Ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Muhajirin untuk merealisasikan hasrat tersebut. Kertas kerja ini juga memberi maklumat lengkap tentang surau yang dimaksudkan.

Justeru, dengan rasa penuh hormat dan rendah diri, pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al Muhajirin  berharap kepada sumbangan pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan berupa kewangan dan sebagainya demi mencapai hasrat seluruh penduduk Islam Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor.

AHLI JAWATANKUASA PEMBINAAN SURAU

PENGERUSI
EN. AMAT SAPAR BIN SALLEH

TIMBALAN PENGERUSI
EN. WAN SHAMSUL BAHARI HJ. WAN ARSHAD

SETIAUSAHA
EN. ERRY HAIRANI BIN HJ. MOHAMAD NASIR

PENOLONG SETIAUSAHA
PN. HJH. NORMAH BTE HJ. ABAS

BENDAHARI
DR. HJ. MURAD BIN HJ. TOKIMIN

JURU AUDIT
PN. HJ. ZANARIAH BTE IBRAHIM

AHLI JAWATANKUASA
TN. HJ. WAN MOHAMAD BIN WAN KUNING
TN HJ. ZAHID BIN ABD. MANAF
TN HJ. ABDULLAH BIN RAHMAN
EN. AZHAR BIN ARIFFIN
EN. PAIMAN BIN SAREK
EN. IDRIS BIN KASIM
EN. ABDUL RAZAK BIN HASSAN
EN. ROHAIZAT BIN ANI
EN. MOHD YASSIN BIN MOHAMAD
EN. ISMAIL BIN HASHIM
EN. NORAZMI BIN ATAN
EN. ROSLEE BIN HADI
EN. ANUAR BIN SHAIKH ALI
PN. HJH. NORMAWETIE BTE MOKHTAR
PN. HJH. RAZAAIIAINI BTE HJ. WOK