Isnin, 7 September 2009

PENGENALAN.


Taman Bukit Jaya merupakan salah sebuah taman perumahan yang terletak di Mukim Tebrau, Ulu Tiram di daerah Johor Bahru.  Jumlah keseluruhan rumah penduduk Islam di taman ini ialah 300 unit di mana bilangan penduduk Islam terdiri dari kira-kira 500 orang.

Buat masa kini, kami memiliki sebuah surau sementara yang telah dibina secara gotong royong tanpa bantuan dari pihak luar tetapi surau yang sedia ada tidak dapat lagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah pada satu-satu masa khasnya bila diadakan program seperti  Solat Hari Raya, majlis ilmu dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Ini ditambah pula dengan keadaan surau yang sudah agak daif (atas faktor umur, telah dilanda ribut beberapa bulan yang lalu serta serangan anai-anai),  ancaman keselamatan (banyak berlaku kecurian harta surau) dan untuk keselesaan jemaah.

Kami telah berusaha untuk mendapatkan peruntukkan untuk membina surau yang lebih selesa. Memandangkan usaha kami tidak menunjukkan sebarang  hasil positif, maka satu jawatankuasa pembinaan surau baru telah dibentuk pada akhir tahun 2008. AJK ini telah merangka untuk mencari jalan mengumpul dana sendiri melalui kutipan derma dan sumbangan dari penduduk setempat dan masyarakat Islam yang sudi membantu.

Kertas kerja ini disediakan sebagai memberi gambaran kesungguhan dan komitmen Ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Muhajirin untuk merealisasikan hasrat tersebut. Kertas kerja ini juga memberi maklumat lengkap tentang surau yang dimaksudkan.

Justeru, dengan rasa penuh hormat dan rendah diri, pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al Muhajirin  berharap kepada sumbangan pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan berupa kewangan dan sebagainya demi mencapai hasrat seluruh penduduk Islam Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor.