Memaparkan catatan dengan label Marhaban Perdana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Marhaban Perdana. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Oktober 2009

HARI INI DALAM SEJARAH - MARHABAN RAYA 09.

Alhamdulillah, satu lagi cacatan sejarah tercipta di dalam linkungan kariah Bukit Jaya. 17hb. Oktober 2009 (29 Syawal 1430), hari Sabtu selepas solat Isyak, Surau Al-Muhajirin telah berjaya menganjurkan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI & MARHABAN PERDANA 2009. Majlis tersebut telah dapat di sempurnakan dalam suasana yang penuh keceriaan dan kesyukuran.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan selamat datang penuh ta'zim oleh pengerusi Surau Al-Muhajirin, En.Wan Shamsul Bahari. Disusuli dengan bacaan doa mohon keberkatanNya oleh Imam Muda Jeffry Al-Hafiz dengan disambut oleh alunan Selawat berirama (alunan kompang) ke atas Baginda Rasullah S.A.W.

Acara kemuncak adalah Marhaban beramai-ramai secara terbuka oleh semua penduduk Taman Bukit Jaya yang hadir, dimana sebelumnya telah dimulakan dengan bacaan berzanji oleh Imam Muda. Sambutan yang menggalakkan dari penduduk adalah amat membanggakan. Jamuan makan sebagai penutup tirai majlis turut di serikan dengan percikan bunga api bagi memeriahkan lagi suasana. Tidak ketinggalan juga 2 ekor kambing panggang yang menjadi tarikan dan permintaan hangat.

Segala puji bagi Allah yang telah memberi segala nikmatNya. Terima kasih kepada semua dermawan yang telah menyumbang dalam bentuk wang ringgit dan barangan. Terima kasih kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus menyempurnakan majlis. Terima kasih kepada penduduk Taman Bukit Jaya yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga, untuk satu majlis yang telah mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.

Kepada mereka yang ingin menyimpan koleksi VCD aktiviti tersebut, bolehlah hubungi saya untuk tempahan. Kos RM10.00 sebagai sumbangan (Jualan Amal), akan di masukkan terus ke dalam dana Tabung Pembinaan Surau Baru.

Klip video ini adalah sedutan (sebahagian) dari VCD versi penuh. Harap maklum dan selamat menonton.


Ahad, 11 Oktober 2009

MARHABAN OH MARHABAN..

Biasanya dalam bulan Syawal ni, ziarah menziarahi ke rumah teman, jiran, sahabat dan saudara sudah menjadi kemestian bagi mereka yang berkesempatan. Jemputan untuk ke majlis rumah terbuka juga tidak henti-henti.

Tidak ketinggalan juga dalam bulan Syawal ini ialah Kumpulan Marhaban akan bergerak aktif, tidak kira sama ada di kampung atau bandar. Masing-masing cuba mengambil kesempatan untuk turut serta kerana selain dari dapat merapatkan lagi silaturrahim sesama sendiri, bermaaf-maafan, berkasih sayang, mereka juga dapat ziarah ke rumah kariah setempat serta bersua muka...walaupun cuma setahun sekali.. : ). Yalah, bila hari-hari biasa, masing-masing sibuk dengan agenda yang tersendiri. Kalau berselisih pun cuma sekadar dapat melambai tangan atau sesekali terserempak bila ke surau. Sebenarnya surau yang aktif dengan aktiviti juga dapat memainkan peranan dalam menghubungkan silaturrahim sesama kariah.. Insya Allah.

Walaupun begitu, peranan kumpulan Marhaban di satu-satu tempat itu tidak perlu dinafikan. Selain dapat berkumpul bersama, menikmati hidangan dari tuan rumah dan yang paling istimewanya ialah dapat berselawat ke atas nabi secara berkumpulan. Bukan untuk riak dan takbur tapi hanya sekadar mengingatkan diri masing-masing untuk mengejar syufaat Baginda Rasullullah S.A.W. Marilah bersama memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi dengan penuh keikhlasan, keinsafan dan kesyukuran kita sebagai umatnya.

Sempena dengan bulan Syawal ini, Surau Al-Muhajirin akan mengadakan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI & MARHABAN PERDANA pada 17hb. Oktober 2009 / 29 Syawal 1430H (Sabtu). Majlis akan bermula selepas solat Isyak dan dengan hormatnya semua dijemput hadir khasnya penduduk Taman Bukit Jaya untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita..Aminn.
Perbanyakkanlah Selawat tanda ingatan kasih sayang kita kepada Baginda...