Ahad, 11 Oktober 2009

MARHABAN OH MARHABAN..

Biasanya dalam bulan Syawal ni, ziarah menziarahi ke rumah teman, jiran, sahabat dan saudara sudah menjadi kemestian bagi mereka yang berkesempatan. Jemputan untuk ke majlis rumah terbuka juga tidak henti-henti.

Tidak ketinggalan juga dalam bulan Syawal ini ialah Kumpulan Marhaban akan bergerak aktif, tidak kira sama ada di kampung atau bandar. Masing-masing cuba mengambil kesempatan untuk turut serta kerana selain dari dapat merapatkan lagi silaturrahim sesama sendiri, bermaaf-maafan, berkasih sayang, mereka juga dapat ziarah ke rumah kariah setempat serta bersua muka...walaupun cuma setahun sekali.. : ). Yalah, bila hari-hari biasa, masing-masing sibuk dengan agenda yang tersendiri. Kalau berselisih pun cuma sekadar dapat melambai tangan atau sesekali terserempak bila ke surau. Sebenarnya surau yang aktif dengan aktiviti juga dapat memainkan peranan dalam menghubungkan silaturrahim sesama kariah.. Insya Allah.

Walaupun begitu, peranan kumpulan Marhaban di satu-satu tempat itu tidak perlu dinafikan. Selain dapat berkumpul bersama, menikmati hidangan dari tuan rumah dan yang paling istimewanya ialah dapat berselawat ke atas nabi secara berkumpulan. Bukan untuk riak dan takbur tapi hanya sekadar mengingatkan diri masing-masing untuk mengejar syufaat Baginda Rasullullah S.A.W. Marilah bersama memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi dengan penuh keikhlasan, keinsafan dan kesyukuran kita sebagai umatnya.

Sempena dengan bulan Syawal ini, Surau Al-Muhajirin akan mengadakan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI & MARHABAN PERDANA pada 17hb. Oktober 2009 / 29 Syawal 1430H (Sabtu). Majlis akan bermula selepas solat Isyak dan dengan hormatnya semua dijemput hadir khasnya penduduk Taman Bukit Jaya untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita..Aminn.
Perbanyakkanlah Selawat tanda ingatan kasih sayang kita kepada Baginda...