Khamis, 1 Oktober 2009

BERSUCI (WUDHUK).

Apakah hukum mengambil wudhuk?

Wudhuk adalah wajib setiap kali hendak mengerjakan solat termasuklah solat jenazah. Tidak sah solat tanpa wudhuk. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad).

Selain untuk mengerjakan solat, wudhuk juga diwajibkan untuk melakukan perkara berikut;
1. Melakukan sujud; sama ada sujud tilawah atau sujud syukur (iaitu mengikut jumhur ulamak. Adapun menurut Imam Ibnu Hazim; tidak disyaratkan wudhuk untuk melakukan sujud, yakni harus sujud tanpa wudhuk.
2. Mengerjakan Tawaf (mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi, tidak disyaratkan wudhu, yakni; sah tawaf tanpa wudhuk).
3. Memegang/ menyentuh, membawa atau memikul mushaf al-Quran (iaitu mengikut pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak tidak mewajibkannya, antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi).
4. Menjadi khatib untuk solat jumaat (pada pandangan mazhab Syafi’ie).

Apakah kelebihan wudhuk?

Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa mengambil wudhuk, lalu ia memperelokkan wudhuknya (yakni mengambil wudhuk dengan sempurna), akan gugurlah dosa-dosa dari tubuhnya termasuklah dosa dari celah-celah kukunya” (Riwayat Imam Muslim dari Usman bin ‘Affan r.a.).

Untuk mengetahui pemahaman yang lebih jelas, silalah rujuk di halaman sesawang berikut. Banyak yang boleh kita pelajari darinya. Sampai menyampaikanlah kepada sahabat yang lain. Semoga bersama mendapat keberkatanNya..Insya Allah.

Disalin dengan izin dari 
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-wudhuk.html