Isnin, 26 Oktober 2009

BERKALAU ITU ADALAH AMALAN SYAITAN?

Kita sering dan pernah mendengar orang berkata "Kalaulah aku tak pergi...", "Kalaulah aku ikut nasihat dia..", "Kalaulah aku orang kaya.." dan macam-macam lagi. Mungkin kita juga pernah kata begitu...

Kenapa kita bertindak sehingga berkata begitu? Ada pelbagai sebab, mungkin kita menyesal dengan apa yang telah berlaku atau mungkin kita juga hendak apa yang berlaku pada diri kita semuanya adalah sempurna (perfect) atau memang sudah menjadi kebiasaan kita akan berkata begitu..? Sedarkah kita bahawa "KALAU" itu adalah amalan syaitan?

Saya ada terbaca hadis di dalam satu laman sesawang, yang berbunyi seperti berikut. Cubalah kita renungkan bersama:

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: 
"Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ AKAN MEMBUKAKAN PINTU AMALAN SYAITAN.” 
[Riwayat Muslim]

Kesimpulannya, janganlah kita "berKALAU" kerana ia seolah-olah menidakkan atau menyesali segala takdir yang telah di tentukan oleh Allah ke atas kita. Jangan  jadikan ia sebagai satu keluhan atau menidakkan sesuatu perkara. Sentisalah berfikiran terbuka dan positif bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri. Cuma iman dan semangat yang tinggi sahaja yang dapat meningkatkan kesabaran kita dan tenang untuk menghadapi segalanya.

Berkalaulah pada tempat yang sesuai atau sebagai satu bayangan untuk kita memotivasikan diri.
"KALAU aku berniaga dari sekarang,  bulan depan aku dah ada duit lebih. KALAU aku dah  banyak duit, bolehlah aku bantu orang lain pula dan bagi pada Tabung Surau lebih sikit". Tapi kenalah pastikan "KALAU" tersebut bukan satu hayalan. Kenalah disusuli dengan tindakan yang sesuai untuk jadikannya sebagai satu kenyataan dan bukannya sebagai satu percakapan kosong.

Marilah kita menjadi seorang mukmin dan mukminat yang kuat, cemerlang dan terbilang. Jadikanlah Aliff, Baa, Thaa (Agama, Bangsa & Tanah Air) sebagai paksi perjuangan hidup kita di dunia menuju ke akhirat.

Alhamdulillah, sentiasalah bersyukur kepadaNya.

Wallahu'alam.