Khamis, 1 April 2010

DAGING BERKALIMAH.

  Salam hormat semua. Dah lama juga saya tidak mengemaskinikan blog surau ni. Kekangan masa yang padat membuatkan saya tidak berkesempatan langsung. Apa pun di harapkan anda masih sudi untuk menatap blog ini. Sudah banyak juga aktiviti surau yang belum lagi saya masukkan. Bermula dari sekarang saya akan cuba kemaskinikan semuanya.

Dulu kita pernah digemparkan dengan kisah seorang bayi, ALI YAKUBOV dari Rusia, di mana ayat suci Al-Quran telah timbul atau tertulis pada tubuh badannya. Satu dunia gempar akan keistimewaan bayi tersebut. Tapi apa yang nak dipelikkan sangat, semuanya itu adalah kehendak Allah jua.

 Kisah yang hampir sama juga ada berlaku semasa Majlis Qurban, di Surau Al-Muhajirin tempohari. Cuma yang membezakannya hanya dari objek dan tulisan yang dapat di lihat. Untuk perkongsian bersama, cuba perhatikan gambar hirisan daging lembu qurban di bawah ini. Daging tersebut adalah dari daging salah seekor lembu yang di qurbankan. Kalau di perhatikan dari mata kasar, tulisan (Arab) kalimah ALLAH, ada tertera padanya. Terpulanglah pada anda untuk menafsirkannya, sama ada ianya hanya kebetulan atau kenyataan yang sebenarnya. Saya sendiri kurang pasti adakah susunan daging lembu lain, ada yang berbentuk seperti itu.
   Maha suci Allah, hanya Dia yang mengetahui segalanya.

Khamis, 26 November 2009

MARI BERTAKBIR.

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..

Hari Raya Qurban atau Hari Raya Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 27 November ini, bersamaan 10 Zulhijah. Pengistiharan tersebut telah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.. "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1430 Hijrah ialah pada 18 Nov 2009 Masehi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat, 27 Nov 2009 Masehi," katanya dalam siaran akhbar Jabatan Penerangan yang dikeluarkan di sini hari ini. (Bernama)

Maka dengan rasminya, esok kita semua akan berhari raya dan dengan rasminya juga bahawa semua umat Islam yang sedang mengerjakan fardhu haji di tanah suci Mekah akan menyambut hari "kemenangan" mereka juga. Alhamdulillah, mudah-mudahan mereka semua mendapat haji dan hajjah yang mabrur serta di terima di sisi Allah S.W.T.

Seperti biasa, alunan takbir akan berkumandang di seluruh surau dan masjid bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia. Bermula pada malam Jumaat sehinggalah keesokkannya, takbir akan bersahut-sahutan memuji kebesaran Allah yang Esa. Marilah bersama kita mengambil kesempatan ini untuk memuji dan bersyukur kepadaNya. Mudah-mudahan kita juga mendapat nikmat, rahmat, taufik dan hidayah dariNya jua.

Sempena dengan Hari Raya Qurban ini, Surau Al-Muhajirin Taman Bukit Jaya akan menjalankan aktiviti qurban seperti di tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, tahun ini masih mendapat sambutan dari kariah dan penduduk setempat. Pada awalnya hanya 2 ekor lembu sahaja tetapi sehingga tarikh tutup penyertaan, jumlah keseluruhan telah menjadi 6 ekor semuanya.

Sembahyang Hari Raya akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan acara Qurban akan dimulakan seawalnya pada pukul 10.00 pagi. Kepada anda yang berada di sekitar kawasan kami, adalah di jemput hadir untuk dapat bersama menunaikan Solat Aidiladha dan memeriahkan lagi suasana.

Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin dari kami AJK Pembinaan Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya,
Ulu Tiram, Johor.

Marilah bertakbir.. Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..



Rabu, 18 November 2009

SELAMAT BERJUANG.

Salam sejahtera buat semua.


Bila tiba akhir tahun, banyak peristiwa yang telah kita lalui dan akan kita lalui untuk melengkapkan segala tugasan yang mungkin telah kita rancang dari awal tahun sehinggalah akhir tahun ini. Ada yang telah disempurnakan dengan baik dan mungkin juga ada yang gagal. Namun pastikan anda tetap bersyukur dengan apa yang telah anda lalui itu. Semakin kita bersyukur semakin banyak nikmat yang akan ALLAH limpahkan. Mudah-mudahan kita semua di berikan petunjuk yang lebih nyata dan sempurna..TERUSKAN PERJUANGAN ANDA.

Bagi AJK PembinaanSurau sendiri, banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa di tempuhi. Walau apa pun rintangannya, kami menyambutnya dengan ikhlas dan menganggap apa yang telah berlaku itu adalah sebagai satu ujian dariNya..mungkin hanya untuk menguji kesabaran setiap insan yang berniat untuk berjuang. Satu perjuangan yang akan kami pastikan kejayaannya hanya dengan izin Allah jua.



PERJUANGAN pelajar-pelajar sekolah rendah yang telah menduduki peperiksaan UPSR telah pun berakhir. Kepada mereka yang telah berjaya mendapat 5A atau 4A, sudah tentu akan merasa bangga dan gembira kerana telah dapat menyelesaikan antara tugasan penting mereka. Tahniah kepada mereka yang berjaya. Bagi yang tidak mencapai sasaran seperti yang di harapkan, anda tidak perlu untuk merasa kecewa, risau dan gundah gulana kerana anda bukan gagal tetapi anda juga telah berjaya menyambut cabaran (peperiksaan) tersebut, kerana ini adalah cubaan pertama anda sebagai pelajar. Tahniah kepada semua kerana telah berani memulakan langkah pertama mengambil sesi peperiksaan utama tersebut yang penuh bermakna buat anda & keluarga. Jadikan segalanya sebagai satu titik tolak untuk mencipta momentum yang lebih hebat sebagai pejuang kejayaan dalam pelajaran. Berjaya atau gagal dalam peperiksaan tidak bermakna anda akan berjaya atau gagal dalam hidup kerana ia adalah sebahagian dari pengisian dalam kehidupan. & yang penting, anda telah BERUSAHA. Teruskan perjuangan anda TANPA KENAL ERTI PUTUS ASA dan ALASAN, untuk menikmati kehidupan sebenarnya..belajar & belajar!


Selamat berjuang di arena peperiksaan kepada semua pelajar yang sedang menambil peperiksaan SPM & STPM. Hadapinya dengan TENANG, SABAR dan YAKIN PADA DIRI SENDIRI. Bermulalah dengan Bismillah serta Selawat dan akhirinya dengan Alhamdulillah. Mohonlah padaNya agar diberikan petunjuk & hidayah agar di berikan kemudahan ketika menjawab.  Buktikan bahawa segala usaha anda selama ini tidak sia-sia dan yang paling penting, anda berani untuk menerima segala kenyataan untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Selamat menghadapi peperiksaan tersebut dan semoga berjaya..YAKIN BOLEH!

PERJUANGAN SETIAP INDIVIDU TIDAK AKAN BERAKHIR SELAGI MEREKA MEMPUNYAI IMPIAN. Kepada semua tetamu Allah yang bakal menunaikan ibadah Haji, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat pergi dan selamat kembali. Diiringi dengan doa ta'zim agar segala urusan di permudahkan, selamat sejahtera, sihat walafiat penuh bertenaga dan mendapat ganjaran Haji yang Mabrur hendaknya. Perjuangan anda untuk ke sana, telah di makbulkan oleh Nya. Ya Allah, perkenankanlah segala hajat mereka yang menjadi tetamuMu itu. Berilah mereka segala keampunan, kenikmatan, kemudahan dan ketenangan ketika menjalani ibadah tersebut..Aminn..

Berjuanglah selagi hayat di kandung badan. Impian memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan kesabaran dan kesabaran memerlukan keimanan. Semoga impian anda menjadi nyata dan menikmatinya dengan penuh kesyukuran.

SELAMAT BERJUANG DAN SEMOGA ANDA SEMUA BEROLEH KEJAYAAN.

Jumaat, 6 November 2009

APA RAHSIA DI SEBALIK NO 1,618?

Biasanya kita akan dapat melihat angka 786 di kedai-kedai mamak dan ada juga yang menggantung gambar nombor tersebut di rumah-rumah. Angka tersebut di katakan bermaksud Bismillahirrahmanirrahim dan beserta dengan pelbagai kepercayaan lain yang berkaitan dengan tuah dan nasib. Saya sendiri kurang pasti akan kelebihan nombor tersebut dan selepas di buat semakan, sebenarnya ia adalah bertentangan dengan Akidah, Syariat dan akhlak kita sebagai umat Islam. Perkara ini talah di jelaskan oleh Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor (07hb November 2007). Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh semak di laman sesawang berikut:
http://www.e.fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1373

Tapi bagaimana pula dengan nombor atau angka 1,618 ini? Angka ini sebenarnya lebih menjurus kepada pembuktian akan kebesaran Allah S.W.T. Ia adalah satu kiraan matematik yang mudah dan terdapat di setiap TUBUH BADAN kita. Apa yang lebih menakjubkan, angka tersebut juga terdapat pada BANGUNAN KAABAH!!. Ingin saya jelaskan, bahawa angka tersebut bukan dalam bentuk tulisan, ukiran atau objek tetapi dalam bentuk kiraan sahaja.

Untuk lebih jelas, sila hayati video klip ini. Semoga kita dapat muhasabah diri dan melihat keagungan serta kebesaran Allah dengan penuh keinsafan. Lihatlah betapa perfect (sempurna) setiap kejadian yang telah Allah ciptakan termasuk diri kita ini. Allahuakhbar..sesungguhnya hanya Allah yang Maha Besar..

Selamat menonton.


Isnin, 2 November 2009

BERNIAGA SAMBIL BERAMAL.

Perniagaan adalah antara Sunnah Rasullah S.A.W.yang telah di tinggalkan kepada kita sebagai umatnya. Baginda adalah seorang usahawan yang berjaya di zamannya dan telah pun di nyatakan dengan jelas dalam hadis Baginda bahawa 9/10 punca rezeki itu adalah dari perniagaan.

Ramai antara kita yang sedia maklum dan mengetahui akan kedudukan perkara ini tapi sering juga menjadi tanda tanya, kenapa kita jugalah yang seboleh-bolehnya menjauhkan diri dari tercebur di bidang perniagaan ini.Masing-masing mungkin mempunyai alasan yang tersendiri. Antaranya mungkin juga modal atau "tidak kuasa" untuk melayan kerenah serta ragam perniagaan itu sendiri atau sebagainya.

Namun, sebagai usaha untuk mengisi Tabung Pembinaan Surau Baru ini, saya amat menggalakkan agar kita semua cubalah sedayanya bermula dari sekarang ini untuk belajar berjinak-jinak dengan bidang perniagaan ini. Mungkin masih ramai lagi yang tidak maklum bahawa sebenarnya Surau Al-Muhajirin telah pun memulakan beberapa perniagaannya sendiri.

Mereka yang menggerakkanya adalah secara sukarela. Selain dari dapat menambah pendapatan diri dan keluarga, sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam Tabung Pembinaan Surau tersebut. Antara produk yang diniagakan adalah seperti berikut:

a) PRODUK FIZIKAL A.
  1. Kopi Barli.
  2. Kopi Tongkat Ali Plus.
  3. Kopi Kacip Fatimah Kologen.
  4. Losyen Pati Halia, Cengkih dan Limau.
Harga Ahli: RM15.00. (Minima *RM1.00 adalah untuk Tabung Pembinaan Surau)
Harga Runcit: RM24.00) *Tidak termasuk hasil dari keuntungan berperingkat.


b) PRODUK FIZIKAL B.
    Koleksi VCD Aktiviti Surau.
  1. Majlis Maulidur Rasul 08.
  2. Rakaman Solat Tarawih 09.
  3. Sambutan Hari Raya & Marhaban Perdana 09.
  4. Hari Keluarga Jaya & Forum Perdana.
Harga Seunit: RM10.00 - 100% khas untuk Tabung Surau. (Diskaun untuk pembelian lebih dari 1 unit).


c) PRODUK MAYA.
  1. Buku Elektronik (ebook) - Lebih dari 10 tajuk.
Sila lihat di sini:   http://tinyurl.com/danasurau
Jualan di buat secara on-line (berniaga dari rumah) atau off line (secara bersemuka).
Harga Runcit: RM10.00. ( RM1.00 akan dimasukkan terus ke Akaun Pembinaan Surau (RHB) secara otomatik)

Dengan modal serendah RM10 sahaja sebenarnya anda sudah mampu untuk memulakan perniagaan sendiri. Bermulalah dari kecil sebelum memikirkan yang besar. Sekurang-kurangnya Sunnah Rasullah S.A.W. tersebut telah pun anda aplikasikan dalam kehidupan anda. Untuk keterangan lajut, boleh hubungi saya, pada bila-bila masa. JOM BERNIAGA, SAMBIL BERAMAL..

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita...Insya Allah.

p/s: Produk akan ditambah dari semasa ke semasa. Cadangan baru juga amat di galakkan.

Sabtu, 31 Oktober 2009

HARI INI DALAM SEJARAH - MARHABAN RAYA 09.

Alhamdulillah, satu lagi cacatan sejarah tercipta di dalam linkungan kariah Bukit Jaya. 17hb. Oktober 2009 (29 Syawal 1430), hari Sabtu selepas solat Isyak, Surau Al-Muhajirin telah berjaya menganjurkan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI & MARHABAN PERDANA 2009. Majlis tersebut telah dapat di sempurnakan dalam suasana yang penuh keceriaan dan kesyukuran.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan selamat datang penuh ta'zim oleh pengerusi Surau Al-Muhajirin, En.Wan Shamsul Bahari. Disusuli dengan bacaan doa mohon keberkatanNya oleh Imam Muda Jeffry Al-Hafiz dengan disambut oleh alunan Selawat berirama (alunan kompang) ke atas Baginda Rasullah S.A.W.

Acara kemuncak adalah Marhaban beramai-ramai secara terbuka oleh semua penduduk Taman Bukit Jaya yang hadir, dimana sebelumnya telah dimulakan dengan bacaan berzanji oleh Imam Muda. Sambutan yang menggalakkan dari penduduk adalah amat membanggakan. Jamuan makan sebagai penutup tirai majlis turut di serikan dengan percikan bunga api bagi memeriahkan lagi suasana. Tidak ketinggalan juga 2 ekor kambing panggang yang menjadi tarikan dan permintaan hangat.

Segala puji bagi Allah yang telah memberi segala nikmatNya. Terima kasih kepada semua dermawan yang telah menyumbang dalam bentuk wang ringgit dan barangan. Terima kasih kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus menyempurnakan majlis. Terima kasih kepada penduduk Taman Bukit Jaya yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga, untuk satu majlis yang telah mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.

Kepada mereka yang ingin menyimpan koleksi VCD aktiviti tersebut, bolehlah hubungi saya untuk tempahan. Kos RM10.00 sebagai sumbangan (Jualan Amal), akan di masukkan terus ke dalam dana Tabung Pembinaan Surau Baru.

Klip video ini adalah sedutan (sebahagian) dari VCD versi penuh. Harap maklum dan selamat menonton.


Isnin, 26 Oktober 2009

BERKALAU ITU ADALAH AMALAN SYAITAN?

Kita sering dan pernah mendengar orang berkata "Kalaulah aku tak pergi...", "Kalaulah aku ikut nasihat dia..", "Kalaulah aku orang kaya.." dan macam-macam lagi. Mungkin kita juga pernah kata begitu...

Kenapa kita bertindak sehingga berkata begitu? Ada pelbagai sebab, mungkin kita menyesal dengan apa yang telah berlaku atau mungkin kita juga hendak apa yang berlaku pada diri kita semuanya adalah sempurna (perfect) atau memang sudah menjadi kebiasaan kita akan berkata begitu..? Sedarkah kita bahawa "KALAU" itu adalah amalan syaitan?

Saya ada terbaca hadis di dalam satu laman sesawang, yang berbunyi seperti berikut. Cubalah kita renungkan bersama:

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: 
"Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ AKAN MEMBUKAKAN PINTU AMALAN SYAITAN.” 
[Riwayat Muslim]

Kesimpulannya, janganlah kita "berKALAU" kerana ia seolah-olah menidakkan atau menyesali segala takdir yang telah di tentukan oleh Allah ke atas kita. Jangan  jadikan ia sebagai satu keluhan atau menidakkan sesuatu perkara. Sentisalah berfikiran terbuka dan positif bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri. Cuma iman dan semangat yang tinggi sahaja yang dapat meningkatkan kesabaran kita dan tenang untuk menghadapi segalanya.

Berkalaulah pada tempat yang sesuai atau sebagai satu bayangan untuk kita memotivasikan diri.
"KALAU aku berniaga dari sekarang,  bulan depan aku dah ada duit lebih. KALAU aku dah  banyak duit, bolehlah aku bantu orang lain pula dan bagi pada Tabung Surau lebih sikit". Tapi kenalah pastikan "KALAU" tersebut bukan satu hayalan. Kenalah disusuli dengan tindakan yang sesuai untuk jadikannya sebagai satu kenyataan dan bukannya sebagai satu percakapan kosong.

Marilah kita menjadi seorang mukmin dan mukminat yang kuat, cemerlang dan terbilang. Jadikanlah Aliff, Baa, Thaa (Agama, Bangsa & Tanah Air) sebagai paksi perjuangan hidup kita di dunia menuju ke akhirat.

Alhamdulillah, sentiasalah bersyukur kepadaNya.

Wallahu'alam.

Jumaat, 23 Oktober 2009

MUKJIZAT DI SEBALIK BISMILLAH.

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz ‘ BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM ‘ yang bermaksud ‘ Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ‘ KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH
1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.
2. ‘BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. ‘ (Hadith Qudsi)
3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.
4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sa kit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.
5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.
6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 ( QS.AL Muddatsir:30) .Ibnu Mas ‘ ud berkata: ‘ Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari. ‘
7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ‘ Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. ‘
8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.
9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.
10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.
11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Wallahu'alam.
(Dipetik dari Malaysiaku Boleh)

Jumaat, 16 Oktober 2009

TERJEMAHAN AL-FATIHAH - ترجمهن الفاتحة

Ada 2 PERKARA yang ingin saya sampaikan di sini.

PERTAMA: Adakah anda tahu maksud Surah Al-Fatihah yang sering kita baca di setiap solat kita? Mungkin ada yang berkata tahu, tahu sikit-sikit dan mungkin juga..dulu tahu tapi sekarang sudah tak ingat... : ). Tak apa, mari kita ulang kaji bersama..saya sendiri pun ada yang terkucil juga..haha. Berbanyak maaflah, bukan niat saya untuk mengajar, tapi sekurang-kurangnya dapatlah kita menajamkan kembali ingatan kita pada maksud surah tersebut dan seterusnya membuatkan kita khusyuk dalam menunaikan solat...Insya Allah..

 دڠن نام الله، يڠ مها ڤموره، لاݢي مها مڠاسيهاني
 

سݢالا ڤوجي ترتنتو باݢي الله، توهن يڠ ممليهارا دان منتدبيرکن
سکالين عالم

يڠ مها ڤموره، لاݢي مها مڠاسيهاني

(يڠ مڠواساءي ڤمرينتاهن هاري ڤمبالسن ﴿هاري اخيرة

 اڠکاوله سهاج ﴿يا الله﴾ يڠ کامي سمبه، دان کڤد اڠکاوله سهاج کامي 
مموهون ڤرتولوڠن


تونجوکيله کامي جالن يڠ لوروس

,ايايت جالن اورڠ-اورڠ يڠ اڠکاو تله کورنياکن نعمت کڤد مريک
بوکن ﴿جالن) اورڠ-اورڠ يڠ اڠکاو تله مورکاي
دان بوکن ڤولا ﴿جالن﴾ اورڠ-اورڠ يڠ سست


KEDUA: Ada masalah lain ke? Saya tak pandai baca tulisan Jawi!! Pun tak apa...apa kata kita belajar bersama. Kalau mereka yang berdekatan dengan anda tahu membaca Jawi, cubalah belajar dengan mereka. Belajar dengan guru lebih mudah dari tanpa guru. Walaupun begitu, anda sebenarnya masih boleh belajar secara peribadi melalui on-line. Apa yang penting..anda ada kemahuan untuk belajar.


Sebagai permulaan, anda boleh pergi ke laman sesawang ini: 

Cuba salin dan letak tulisan jawi ini di ruang yang di sediakan dan tekan butang "TUKAR". Tulisan Jawi tersebut akan ditukar ke tulisan Rumi..begitu jugalah sebaliknya. Cubalah, mungkin ia boleh dimunafaatkan.

Kepada anda yang ingin membuat surat atau apa sahaja penulisan dalam tulisan Jawi, laman tersebut amat sesuai untuk anda. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menukar mana-mana laman sesawang yang bertulisan Rumi ke tulisan Jawi atau sebaliknya, dalam masa yang singkat.

Selamat belajar, selamat mencuba dan semoga kita semua termasuk di dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Ahad, 11 Oktober 2009

MARHABAN OH MARHABAN..

Biasanya dalam bulan Syawal ni, ziarah menziarahi ke rumah teman, jiran, sahabat dan saudara sudah menjadi kemestian bagi mereka yang berkesempatan. Jemputan untuk ke majlis rumah terbuka juga tidak henti-henti.

Tidak ketinggalan juga dalam bulan Syawal ini ialah Kumpulan Marhaban akan bergerak aktif, tidak kira sama ada di kampung atau bandar. Masing-masing cuba mengambil kesempatan untuk turut serta kerana selain dari dapat merapatkan lagi silaturrahim sesama sendiri, bermaaf-maafan, berkasih sayang, mereka juga dapat ziarah ke rumah kariah setempat serta bersua muka...walaupun cuma setahun sekali.. : ). Yalah, bila hari-hari biasa, masing-masing sibuk dengan agenda yang tersendiri. Kalau berselisih pun cuma sekadar dapat melambai tangan atau sesekali terserempak bila ke surau. Sebenarnya surau yang aktif dengan aktiviti juga dapat memainkan peranan dalam menghubungkan silaturrahim sesama kariah.. Insya Allah.

Walaupun begitu, peranan kumpulan Marhaban di satu-satu tempat itu tidak perlu dinafikan. Selain dapat berkumpul bersama, menikmati hidangan dari tuan rumah dan yang paling istimewanya ialah dapat berselawat ke atas nabi secara berkumpulan. Bukan untuk riak dan takbur tapi hanya sekadar mengingatkan diri masing-masing untuk mengejar syufaat Baginda Rasullullah S.A.W. Marilah bersama memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi dengan penuh keikhlasan, keinsafan dan kesyukuran kita sebagai umatnya.

Sempena dengan bulan Syawal ini, Surau Al-Muhajirin akan mengadakan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI & MARHABAN PERDANA pada 17hb. Oktober 2009 / 29 Syawal 1430H (Sabtu). Majlis akan bermula selepas solat Isyak dan dengan hormatnya semua dijemput hadir khasnya penduduk Taman Bukit Jaya untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis tersebut.

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita..Aminn.
Perbanyakkanlah Selawat tanda ingatan kasih sayang kita kepada Baginda...


Khamis, 8 Oktober 2009

MARILAH MENGHORMATI AZAN.

Lidah kelu di saat kematian. Kematian pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati.... mengapa adanya kisah orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan sakaratul maut. Adakah hadis ini menerangkan segalanya..

Diriwayatkan dari sebuah hadis yang bermaksud :
"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apapun semasa azan berkumandang. Sebagai orang Islam kita haruslah menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri...(semua rakyat Malaysia melakukannya!!) mengapa pula ketika azan berkumandang kita tidak boleh mendiamkan diri....!!! 


Marilah bersama kita mengingatkan diri dan sahabat yang lain bahawa...sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Maka, takutilah dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba.... takutilah juga jika kita tidak dapat mengucapkan kalimah Lailahaillallah... Sesungguhnya sesiapa yg dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya dicabut...Allah menjanjikan syurga untuknya.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu walaupun nyawa sedang dicabut. "Ya...Allah, anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah Laillahaillallah......semasa sakaratul maut menghampiri kami...."




*Hanya Allah yang mengetahui* 
(Sebagai renungan bersama) 

Khamis, 1 Oktober 2009

BERSUCI (WUDHUK).

Apakah hukum mengambil wudhuk?

Wudhuk adalah wajib setiap kali hendak mengerjakan solat termasuklah solat jenazah. Tidak sah solat tanpa wudhuk. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad).

Selain untuk mengerjakan solat, wudhuk juga diwajibkan untuk melakukan perkara berikut;
1. Melakukan sujud; sama ada sujud tilawah atau sujud syukur (iaitu mengikut jumhur ulamak. Adapun menurut Imam Ibnu Hazim; tidak disyaratkan wudhuk untuk melakukan sujud, yakni harus sujud tanpa wudhuk.
2. Mengerjakan Tawaf (mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi, tidak disyaratkan wudhu, yakni; sah tawaf tanpa wudhuk).
3. Memegang/ menyentuh, membawa atau memikul mushaf al-Quran (iaitu mengikut pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak tidak mewajibkannya, antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi).
4. Menjadi khatib untuk solat jumaat (pada pandangan mazhab Syafi’ie).

Apakah kelebihan wudhuk?

Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa mengambil wudhuk, lalu ia memperelokkan wudhuknya (yakni mengambil wudhuk dengan sempurna), akan gugurlah dosa-dosa dari tubuhnya termasuklah dosa dari celah-celah kukunya” (Riwayat Imam Muslim dari Usman bin ‘Affan r.a.).

Untuk mengetahui pemahaman yang lebih jelas, silalah rujuk di halaman sesawang berikut. Banyak yang boleh kita pelajari darinya. Sampai menyampaikanlah kepada sahabat yang lain. Semoga bersama mendapat keberkatanNya..Insya Allah.

Disalin dengan izin dari 
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-wudhuk.html

Khamis, 24 September 2009

LOKASI SURAU.

Ingin mengetahui di mana lokasi surau Al-Muhajirin? Sila semak pada peta berikut. Klik kiri mouse,hold dan gerakkannya untuk pandangan ke sudut lain atau klik pada sebelah bawah untuk pandangan penuh.


View Surau Al-Muhajirin in a larger map

Ahad, 20 September 2009

RAMADAN BERLALU..SYAWAL MENUNGGU..

YA ALLAH..sempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, Dikau muliakan, berkati dan sayangilah kepada sekian umat Islam di dunia ini, khasnya kepada pelawat yang sedang membaca blog ini. Ampunilah segala dosanya, berkatilah keluarganya, sihatkanlah tubuh badannya, limpah ruahkan rezekinya, jauhkan dirinya dari segala fitnah, penganiayaan serta penghinaan...berilah kebahagiaan dalam kehidupannya serta keluarganya, suburkanlah benih keimanan dengan penuh ketaqwaan dan Dikau sempurnakanlah segala hajat serta keperluanya sebagai seorang hambaMu, di dunia dan akhirat.

Sempena dengan bulan Syawal ini juga, kami barisan AJK Pembinaan Surau Baru, Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor..ingin mengambil kesempatan menghulurkan salam kemaafan kepada semua pengunjung blog ini khasnya, rakan, sahabat dan taulan..sama ada yang mengenali kami atau tidak.

Semoga kemunculan Syawal ini memberi semangat baru kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya..Insya Allah.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
1430H / 2009M
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Dengan ingatan tulus ikhlas dari:
AJK PEMBINAAN SURAU BARU, SURAU AL-MUHAJIRIN.

Sabtu, 19 September 2009

AJK PEMBINAAN SURAU BARU.

Dah sibuk-sibuk, sampai terlupa nak memasukkan senarai AJK Pembinaan Surau Baru, Surau Al-Muhajirin yang telah dihantar ke Jabatan Agama Johor dan disahkan oleh pihak mereka. Sebelum ini saya hanya menyenaraikannya sahaja nama AJK tersebut.

Harap maklum.



Jumaat, 18 September 2009

JOM MENGAJI..






Jika anda berhajat untuk mendengar bacaan atau membaca Al-Quran sambil mengetahui terjemahannya, bolehlah cuba dapatkannya disini. Semoga ianya memberi munafaat kepada kita semua. Jika anda ada mempunyai laman sesawang (web site) atau blog, silalah salin skrip Quran Explorer ini ya.. Mudah-mudahan bersama mendapat keberkatanNya...Insya Allah.

RAKAMAN SOLAT TARAWIH 1430 / 2009

Ini adalah rakaman Solat Tarawih di Surau Al-Muhajirin pada minggu lepas. Pada tahun ini pihak surau telah mendapatkan perkhidmatan 2 orang pelajar tahfiz sebagai Imam Muda bagi mengetui solat di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Rakaman ini hanya menggunakan 1 kamera dan dilakukan secara "curi-curi" untuk mengelakkan dari mengganggu kariah yang lain. Oleh itu jika terdapat sebarang kecacatan pada rakaman ini harap di maafkan je la ya..haha.

Jika ada komen, seperti biasa..sila tinggalkan pesanan anda.

Selamat menonton..


Isnin, 14 September 2009

SIRI TERJEMAHAN AL-QURAN.

Surah Al-Baqarah, Ayat 276

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Ahad, 13 September 2009

SIRI TERJEMAHAN AL-QURAN.

Surah A-li ‘Imraan, Ayat 13

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Jumaat, 11 September 2009

CADANGAN PELAN SURAU BARU KAMI.

Ini ialah cadangan pelan untuk surau baru kami. Pelan ini adalah pelan selepas modifikasi dari pelan asal yang telah diserahkan kepada Jabatan Agama Johor, sejak dari tahun 1999 lagi.

 
(Sila klik pada gambar untuk pandangan yang lebih jelas)

Kami menganggarkan kos pembinaan surau ini adalah sebanyak RM200,000.00. Namun sehingga kini, hasil dana yang terkumpul sejak dari awal Januari 2009 ialah sebanyak RM40,000.00 lebih sahaja. Dana tersebut adalah hasil dari kutipan dalaman iaitu dari penduduk Taman Bukit Jaya ini sendiri dan dari beberapa individu serta syarikat dari luar kawasan.

Kami akan cuba mengejar dan sasaran menjelang pertengahan tahun depan, dana tersebut telah dapat kami perolehi sepenuhnya..Insya Allah. Jika pihak anda ada mengenali individu yang dermawan atau syarikat yang budiman, dapatlah kiranya menyampaikan hajat kami ini kepada mereka agar proses pengumpulan dana ini dapat berjalan dengan segera. Segala kerjasama, terlebih dahulu kami ucapkan jutaan terima kasih jua.

Khamis, 10 September 2009

BUKTI DOKUMENT SOKONGAN.

Hari ini ada masa sikit untuk melihat blog surau ni. Kali ini saya nak bercerita pasal BUKTI. Untuk memastikan bahawa kami bukanlah meminta derma, dana, sumbangan atau bantuan untuk surau ini sesuka hati, jadi di sini saya sertakan salinan dokument-dokument yang berkaitan untuk rujukan semua. Kalau tak cukup juga, bolehlah terus merujuk pada Jabatan Agama Islam Johor dengan memberi no fail kami JB 3/2009, atas nama Pengerusi, En Amat Sapar Bin Salleh (511102-025911) bagi pihak Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor.

Kami tidak mahu menuduh sesiapa pun kerana tidak mempercayai kami tapi kenyataannya, itulah cubaan dan dugaan yang kami kena tempuhi sehingga kini. Macam-macam tohmahan dan cacian yang terpaksa kami "telan" je, demi untuk memastikan pembinaan surau baru ini berjalan dengan lancar. Jika ada kesempatan, nanti saya akan masukkan cerita sensasi tersebut..haha.

Kalau anda ada pendapat dalam situasi begini, bolehlah menyuarakan pendapat anda itu di ruangan forum Jom Bincang-Bincang di dalam blog ini. Mungkin anda ada pendapat yang bernas atau power untuk kami jadikan panduan selepas ini. Jadi, tak la asyek kena tembak je..

Ya Allah, berilah kami semua kekutan minda dan fizikal, rohani dan jasmani, untuk kami sempurnakan segala tugasan ini.. Doa dari anda memang amat kami perlukan...doakanlah kami berjaya mendirikan sebuah surau baru selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan. DOA ANDA ITU JUGA MERUPAKAN SUMBANGAN IKHLAS yang amat bermakna bagi kami semua...terima kasih.

(Sila klik pada gambar untuk pandangan yang lebih jelas)

 
Ini surat kepada Jabatan Agama Johor, untuk memohon kebenaran bagi menjalankan akiviti memungut sumbangan / derma, yang saya tandatangani. 
 
Ini pula surat jawapan dari Jabatan Agama Johor yang membenarkan aktiviti tersebut (Ruj: JB 3/2009), bermula dari 16/03/2009 sehingga 17/03/2010.. Selepas tamat tempuh, kena mohon semula..
Surat pengesahan tapak yang telah diwakafkan untuk surau tersebut, dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Johor.

GAMBAR DI DALAM SURAU.

Ini adalah gambar yang saya ambil semasa Solat Tarawih. Beginilah keadaan surau kami yang "comel". Menampakkan suasananya yang begitu padat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan sempurna.
 
Imam Muda Tahfiz.


 
 
  
Bila di dalam penuh, terpaksalah sembahyang di luar surau.
 
 
  
Ruang untuk kaum ibu yang begitu terhad...sabar je la bu..
 
SEMOGA IMPIAN KITA UNTUK MEMILIKI SURAU BARU YANG LEBIH SELESA TERMAKBUL JUA HENDAKNYA...
"YA ALLAH, MAKBULKANLAH DOA KAMI INI"
...AMINN..

Rabu, 9 September 2009

HALUAN BERSAMA MASYARAKAT.

Tanggal 30hb. Ogos 2009, sebuah badan NGO yang dikenali sebagai HALUAN telah mengadakan Kem Solat Berkesan di perkarangan Surau Al-Muhajirin. Aktiviti tersebut sebenarnya adalah hasil usaha dari Biro HELWA (Hal Ehwal Wanita), di bawah pentadbiran induk surau, sebagai salah satu aktiviti di bulan Ramadan ini.

Biro HELWA, Surau Al-Muhajirin yang di terajui oleh Puan Hjh. Normawetie Binti Hj. Mokhtar memang sering menganjurkan pelbagai aktiviti yang berfaedah untuk masyarakat setempat.

Pengisian dalam Kem Solat Berkesan ini adalah lebih menumpukan pada gerak kerja individu serta berjemaah dalam mengerjakan ibadah solat, sama ada dari segi tertib dan bacaan di dalam solat. Para hadirin begitu teruja dan mendapat impak yang jelas dalam bab solat tersebut walaupun ianya adalah ibadah seharian kita. Ceramah tersebut talah disampaikan oleh Ustaz Anuar Bin Daud.

Walaupun pada hari tersebut, hujan rahmat telah membasahi perkarangan surau, namun sambutan dari kalangan penduduk taman ini khasnya kaum ibu adalah amat membanggakan. Tahniah kepada semua yang terlibat.

 
  
  
  
  
  

Selasa, 8 September 2009

PANDUAN SOLAT QASAR DAN JAMA'

Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 SOLAT QASAR

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4 Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam(sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5 Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)



2.0 SOLAT JAMA'

2.1 Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim
i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir
i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

2.3.2 Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

Dipetik dari laman sesawang Jakim: http://www.e-solat.gov.my/
Terima Kasih.

Isnin, 7 September 2009

SIRI SOAL JAWAB AGAMA.

ADAKAH SUNTIKAN MEMBATALKAN PUASA ANDA?


Soalan;

Assalamu alaikum, adakah dikira perkara yang membatalkan puasa sekiranya seseorang itu dimasukkan air ke tubuh badannya semasa mendapat rawatan di hospital?

Jawapan;

Soalan di atas berkait dengan hukum suntikan ke atas orang berpuasa; adakah membatalkan puasa atau tidak? Jawapannya; suntikan mempunyai beberapa tujuan;
1. Untuk tujuan pengubatan –seperti menyuntik ubat untuk menurunkan darjah kepanasan bagi orang demam, menyuntik insulan bagi pesakit kencing manis dan sebagainya-.
2. Untuk tujuan kekuatan/ketahanan badan –seperti menyuntik vitamin, kalsium dan sebagainya-.
3. Untuk tujuan taghziah iaitu membekalkan makanan kepada badan seperti memasukkan glukos, air dan sebagainya.

Bagi tujuan pertama dan kedua, ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini telah disepakati oleh sekelian ulamak semasa hari ini kerana bahan yang masuk ke dalam badan melalui suntikan itu bukanlah masuk melalui saluran terbuka (iaitu mulut) dan ia juga tidak berfungsi sebagai makanan untuk badan. Maka suntikan itu tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menghalang diri (dari makan, minum dan sebagainya yang dilarang semasa berpuasa).

Adapun bagi tujuan ketiga iaitu taghziah, ulamak-ulamak semasa hari ini berbeza pandangan;

1. Sebahagian ulamak berpandangan; suntikan taghziyah (iaitu suntikan memasukkan makanan seperti glukos, air atau sebagainya) membatalkan puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum. Suntikan itu membawa makanan masuk ke dalam badan dan badan menerima manfaat darinya. Jika makanan yang masuk melalui mulut membatalkan puasa, maka yang masuk melalui suntikan juga membatalkan puasa kerana ia adalah saripati makanan dan sampai secara direct kepada darah. Antara yang berpandangan begini ialah Syeikh Ibnu ‘Uthaimin (ulamak terkenal dari Arab Saudi) sebagaimana fatwanya dalam kitab “Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram” (halaman 200).

2. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; tidak batal puasa kerana sekalipun ia bersifat makanan tetapi masuknya ke dalam badan bukanlah melalui saluran terbuka (mulut atau hidung) yang berterusan ke perut, akan tetapi melalui urat yang tiada pertalian direct dengan perut. Lagipun ia tidak menghilangkan lapar atau dahaga dan orang yang disuntik tidak merasai kenyang kerana bahan yang disuntik –sekalipun bersifat makanan- tidak sampai ke perut dan tidak melalui saluran penghadaman. Memang benar ia mungkin akan berasa lebih segar dan bertenaga, akan tetapi factor itu sahaja tidak boleh menjadi sebab untuk menghukum batalnya puasa kerana kesegaran juga dirasai oleh orang yang mandi ketika sedang berpuasa dan tidak ada ulamak yang berkata mandi membatalkan puasa kerana mendatangkan kesegaran. Di antara ulamak yang berpandangan begini ialah Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie (bekas mufti Mesir). Pandangan inilah yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Fiqh as-Shiyam” (halaman 86).

Walllahu a’lam.

Disalin dengan izin dari 
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
 http://ilmudanulamak.blogspot.com

KOLEKSI VIDEO- MAULIDUR RASUL 2008

Ini adalah sebahagian gambar "slide video" yang dirakam semasa majlis Maulidur Rasul pada tahun 2008. Pada tahun ini (2009) saya tak berkesempatan kerana ada tugasan di luar daerah.

Rakaman ini telah saya salinkan ke dalam bentuk VCD. Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan versi penuh khasnya penduduk di Taman Bukit Jaya, bolehlah hubungi saya. Saya jadikan VCD ini sebagai jualan amal untuk projek pembinaan surau baru. Harga sekeping hanya RM10 sahaja dan akan terus di masukkan ke dalam tabung pembinaan surau.

Selain dari itu, anda juga akan memperolehi koleksi gambar pegun (PERCUMA) untunk dicetak melalui komputer atau terus ke kedai gambar sebagai koleksi kenangan masing-masing.

Selamat menonton..


PENGETAHUAN AM TARIKH HIJRAH.



Tarikh Hijrah akan berubah selepas jam 8 malam setiap hari. Kenapa? Takwim Hijrah memasuki hari baru selepas masuk waktu maghrib. Tarikh Hijriah ini memasuki hari baru selepas waktu maghrib (ditetapkan jam 8 malam). Tarikh Masihi di bawahnya masih kekal berubah selepas jam 12 malam. Harap Maklum

RASIONALNYA PEMBINAAN SURAU BARU.

  1. Keadaan surau sementara yang sangat daif iaitu separuh batu di mana papan yang telah dimakan anai-anai dan mengancam keselamatan.
  2. Telah dilanda ribut beberapa bulan yang lalu.
  3. Keadaan tandas yang kurang sempurna menyulitkan jemaah lelaki dan wanita ketika majlis diadakan. Saiz surau yang kecil dan tidak mampu lagi menampung jemaah yang semakin bertambah. Ketiadaan ruang yang sesuai bagi jemaah wanita. 
  4. Keadaan surau yang uzur ini telah menyebabkan berlakunya kecurian harta surau.
  5. Lambang kekuatan umat Islam adalah melalui imej surau/masjid. Surau yang sediakan tidak melambangkan imej yang kukuh.

OBJEKTIF PEMBINAAN SURAU BARU.

Untuk mewujudkan satu tempat ibadah bagi keperluan jemaah Islam khasnya penduduk Taman Bukit Jaya, serta memudahkan sebarang aktiviti keagamaan dijalankan dalam keadaan yang selamat, selesa dan memenuhi keperluan semasa, selaras dengan tuntutan Islam.

GAMBAR SURAU SEKARANG.

RUMAH ALLAH (Surau) di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram sekarang ini...


Pandangan hadapan.


Pandangan Penjuru Kiri

Pandangan Penjuru Kanan

    

Pandangan Sisi Kanan

BEGINILAH KEADAAN SURAU KAMI!!

Di sinilah tempat kami beribadat, melakukan aktiviti agama dan kemasyarakatan selama lebih dari 13 tahun lalu. Walaupun telah pelbagai pihak kami ajukan permohonan untuk membantu kami mendirikan surau baru yang lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan semasa, namun semuanya tetap menghampakan tanpa sebarang berita atau alasan yang nyata.

Justeru itu, kami telah mengambil satu keputusan yang pasti untuk membinanya semula dengan usaha kami sendiri, sepertimana 13 tahun dahulu...mengumpulkan dana sesama sendiri dan membinanya secara gotong royong.

Harapan kami amat besar dan kami begitu optimis dalam hal ini. Walau apa pun terjadi, hasrat, impian dan cita-cita kami ini tetap akan kami teruskan.
ADAKAH ANDA INGIN MENYOKONG KAMI?

Pihak kami amat mengalu-alukanya walaupun anda hanya memberi SOKONGAN MORAL DAN DOA agar segala impian kami menjadi kenyataan...

Ya Allah, berkatilah segala usaha kami ini dan berilah kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini..

PENGENALAN.


Taman Bukit Jaya merupakan salah sebuah taman perumahan yang terletak di Mukim Tebrau, Ulu Tiram di daerah Johor Bahru.  Jumlah keseluruhan rumah penduduk Islam di taman ini ialah 300 unit di mana bilangan penduduk Islam terdiri dari kira-kira 500 orang.

Buat masa kini, kami memiliki sebuah surau sementara yang telah dibina secara gotong royong tanpa bantuan dari pihak luar tetapi surau yang sedia ada tidak dapat lagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah pada satu-satu masa khasnya bila diadakan program seperti  Solat Hari Raya, majlis ilmu dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Ini ditambah pula dengan keadaan surau yang sudah agak daif (atas faktor umur, telah dilanda ribut beberapa bulan yang lalu serta serangan anai-anai),  ancaman keselamatan (banyak berlaku kecurian harta surau) dan untuk keselesaan jemaah.

Kami telah berusaha untuk mendapatkan peruntukkan untuk membina surau yang lebih selesa. Memandangkan usaha kami tidak menunjukkan sebarang  hasil positif, maka satu jawatankuasa pembinaan surau baru telah dibentuk pada akhir tahun 2008. AJK ini telah merangka untuk mencari jalan mengumpul dana sendiri melalui kutipan derma dan sumbangan dari penduduk setempat dan masyarakat Islam yang sudi membantu.

Kertas kerja ini disediakan sebagai memberi gambaran kesungguhan dan komitmen Ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Muhajirin untuk merealisasikan hasrat tersebut. Kertas kerja ini juga memberi maklumat lengkap tentang surau yang dimaksudkan.

Justeru, dengan rasa penuh hormat dan rendah diri, pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al Muhajirin  berharap kepada sumbangan pihak-pihak yang ingin memberikan sumbangan berupa kewangan dan sebagainya demi mencapai hasrat seluruh penduduk Islam Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor.

AHLI JAWATANKUASA PEMBINAAN SURAU

PENGERUSI
EN. AMAT SAPAR BIN SALLEH

TIMBALAN PENGERUSI
EN. WAN SHAMSUL BAHARI HJ. WAN ARSHAD

SETIAUSAHA
EN. ERRY HAIRANI BIN HJ. MOHAMAD NASIR

PENOLONG SETIAUSAHA
PN. HJH. NORMAH BTE HJ. ABAS

BENDAHARI
DR. HJ. MURAD BIN HJ. TOKIMIN

JURU AUDIT
PN. HJ. ZANARIAH BTE IBRAHIM

AHLI JAWATANKUASA
TN. HJ. WAN MOHAMAD BIN WAN KUNING
TN HJ. ZAHID BIN ABD. MANAF
TN HJ. ABDULLAH BIN RAHMAN
EN. AZHAR BIN ARIFFIN
EN. PAIMAN BIN SAREK
EN. IDRIS BIN KASIM
EN. ABDUL RAZAK BIN HASSAN
EN. ROHAIZAT BIN ANI
EN. MOHD YASSIN BIN MOHAMAD
EN. ISMAIL BIN HASHIM
EN. NORAZMI BIN ATAN
EN. ROSLEE BIN HADI
EN. ANUAR BIN SHAIKH ALI
PN. HJH. NORMAWETIE BTE MOKHTAR
PN. HJH. RAZAAIIAINI BTE HJ. WOK

Jumaat, 7 Ogos 2009

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum w.b.k.

Terlebih dahulu diucapkan ribuan terima kasih dan selamat datang kepada anda kerana sudi melawat blog khas untuk Surau Al-Muhajirin, Taman Bukit Jaya ini. Tujuan blog ini adalah untuk memberi sedikit sebanyak peneranagan yang berkaitan dengan surau atau sebagai rujukan anda untuk mengenalinya dengan lebih dekat lagi.

Disamping itu, blog ini juga akan digunakan untuk merakam segala aktiviti yang berkaitan bagi tatapan kariah, penduduk di Taman Bukit Jaya ini sendiri.

Justeru itu, pihak kami amat mengharapkan agar blog ini dapat memberi munafaat kepada kita semua. Kami juga amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan, cadangan dan pandangan yang membina, yang boleh di kongsi bersama dengan terus menghubungi saya melalui telefon atau email.

Sebarang kesilapan yang mungkin ada, terlebih dahulu saya memohon berbanyak maaf kerana saya bukanlah seorang blogger yang mahir dalam mentadbir laman blog seperti ini. Matlamat utama kami adalah untuk "memperkenalkan diri" kepada pihak luar dan mungkin seterusnya dapat membantu kami dalam usaha untuk merialisasikan terbinanya sebuah bangunan Surau Al-Muhajirin yang baru..Insya Allah.

Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita.
Terima kasih.

Erry Hairani Bin Hj Mohamad Nasir.
Setiausaha Pembinaan Surau Al-Muhajirin Baru.
+6019-745.2008
perfectlife2u@ymail.com
perfectlife.net@gmail.com